“Dua perkara apabila dimiliki oleh seseorang dia dicatat oleh Allah sebagai orang yang bersyukur dan sabar. Dalam urusan agama dia melihat kepada yang lebih tinggi lalu meniru dan mencontohinya. Dalam urusan dunia dia melihat kepada yang lebih bawah lalu bersyukur kepada Allah bahawa dia masih diberi kelebihan.”
(Riwayat Tirmidzi)
Lewat beberapa hari yang lalu, saat insan lain sedang lena dibuai mimipi indah dan kedinginan, mata sendiri masih berdegil untuk ditutup. Entah mengapa, terimbau kembali pahit manis hidup yang lalu, yang memberi impak besar pada hati dan jiwa. Namun, parut kepahitan lebih jelas berbanding nikmat kemanisan yang dialami. Tanpa sedar, mengalir air mata membasahi pipi. Mana tidaknya, penghinaan dan cacian dari manusia amat menyakitkan, lebih2 lagi fitnah yang ditaburkan menganggu-gugat ketenangan hati. Hati yang sebelumnya sentiasa teguh berdiri meredah ujian dan dugaan tidak lagi mampu berdiri pada akarnya. Ujian itu sangat besar, sehinggakan si ibu di terataknya menitis air mata, jatuh sakit kerana terkejut mendengar kisah si anak.
2 tahun lebih yang lalu, tak semena-mena diri dituduh kerana mencuri harta orang, hanya kerana si pemilik harta mendapat mimpi akan gerangan si pencuri. Walau wajah si pencuri tidak digambarkan, namun ciri-ciri yang ada pada si polan tersebut sedikit menyamai diri ini. Lantas, terus dibuat kesimpulan sendiri sehingga bilik si tertuduh digeledah sesuka hati tanpa izin pemiliknya. Paling kecewa, yang menuduh begitu cetek akal untuk berfikir, walhal mereka adalah dari kalangan yang mendalami ilmu ugama dalam kehidupan seharian. Mengapa manusia begitu cepat melatah saat diri ditimpa kesusahan sehinggakan akal yang waras tidak dimanfaatkan sebaik mungkin. Hanya kerana mimpi!
Yang tertuduh hanya mampu meratap hiba, menangisi akan nasib diri. Beruntung kerana masih punya insan2 yang sentiasa menyokong dan berpegang pada keyakinan mereka. Pada saya, insan2 ini jauh lebih cerdik dari mereka. Hanya mampu berdoa dan berserah pada Allah agar diberi kekuatan dan ditunjukkan kebenaran. Tiap kali kaki melangkah keluar dari kepompong, pasti ada mata2 yang memandang sinis penuh sindiran. Mata sendiri terpaksa 'dibutakan' seolah-olah tiada apa yang berlaku. Nasihat pada hati agar sentiasa bertabah kerana Allah sentiasa melindungi orang yang dizalimi.
Hingga pada suatu saat, terbongkarlah kebenaran. Mengharapkan agar ada permohonan maaf yang diterima atas kesakitan yang diterima, namun hampa. Manusia. Fitrahnya sering lupa pada kealpaan diri sendiri, hanya nampak keburukan orang lain di depan mata. Lantas hati ini hanya membiarkan, memaafkan namun tak pernah melupakan. Walau mereka yang menuduh kini tanpa segan silu menegur dan menyedekahkan senyuman, hati ini masih menolak keramahan yang ditawarkan. Maafkan saya. Bukan kerana angkuh atau sombong, tetapi luka yang ditoreh masih berdarah. Biarlah apa orang kata, hati ini tak mampu membalas senyuman kalian.
Sebenarnya sejak dari usia persekolahan, hati telah terbiasa dengan hinaan manusia. Hinaan manusia yang buta hati, buta segalanya dan lupa bahawa setiap hinaan ibarat menabur dosa sendiri. Mungkin kerana manusia merasakan mereka lebih sempurna berbanding yang lain, lalu yang lain itu dijadikan bahan umpatan dan hinaan. Dan kerana itu, saat melihat insan2 yang lemah menjadi mangsa hinaan, terdetik di hati ini rasa benci kepada yang menghina. Benci melihat kesedihan yang ditanggung si mangsa, yang pernah dialami sendiri oleh diri. Kerana terlalu mengerti apa yang dirasai, nasib yang terkena perlu dibela. Hingga kini, satu prinsip yang sentiasa dipegang saat melihat insan lain turut dihina: Kadang-kadang orang yang dihina itu jauh lebih mulia di sisi Allah berbanding insan yang menhina. Walau jelek sekalipun manusia itu di mata manusia, di mata Allah mungkin saja dia yang terbaik.
Sedarkah manusia berhati kejam itu, insan yang dihina paling2 hanya menakung airmata, atau mengingati kisah perit itu seumur hidunya. Namun, manusia berhati kejam itu tidak sedar, yang dosa setiap patah hinaan dari mulutnya tidak hanya kekal seumur hidupnya, malah hingga ke akhirat. Iya, mentertawakan insan lain mungkin saja dilihat sebagai satu keringanan atau bahan lawak semata-mata. Memanggil dan menggelarkan mereka dengan gelaran yang tidak sepatutnya juga dilihat sebagai satu gurauan dan norma hidup seharian. Lebih seronok apabila mangsa hinaan tidak membalas atau membiarkan sahaja hinaan dilemparkan pada mereka. Mendiamkan diri tidak bermakna menerima segala kejian dan tohmahan dengan rela hati. Mendiamkan diri lebih baik kerana ia mendamaikan dan menyejukkan hati yang terbakar dengan kata2 kesat. Bukankah tiap manusia itu sudah punya nama yang indah lagi bermakna? Lalu kenapa panggilan b**i, binatang, be**k, gemok, hitam dan sebagainya menjadi pilihan? Andai saudara sendiri yang menjadi mangsa, pasti pantas sekali ingin membela bukan?
" Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu puak mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan yang lain, kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk, amatlah buruknya sebutan nama fasiq sesudah ia beriman. Dan ingatlah, sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiqnya maka merekalah orang-orang yang zalim "
(Surah Al-Hujurat: ayat 11)
No comments:
Post a Comment