In the name of Allah the Most Gracious and the Most Merciful

Friday, October 19, 2012

Kisah Saudara Baru

Salam sayyidul ayyam.. jangan lupa Al-Kahfi hari ni, nanti kena rotan! =P


Amaran!!! entri ini berjela panjang jadi sila luangkan masa sebaiknya untuk membaca. =D


Hari ahad hari tu, aku sempat ke sesi Hi-Talk (Hidayah Talk) bersama seorang saudara baru berbangsa cina. Itulah pertama kali aku dengan cerita dari seorang muallaf, tentang beliau semasa jahiliahnya dan juga ketika islamnya kini. sudah 5 tahun. Kita selalu kata orang muallaf ni baru peluk islam, tapi sebenarnya mereka kembali kepada islam yakni kembali kepada fitrah setiap insan. Jika dibandingkan dengan saudara baru yang lain, kisah wanita itu mungkin ada kebersamaannya, dan mungkin terlalu beza dengan yang lain. kisahnya bagiku terlalu tragis. Betapa Allah ingin uji keimanannya sehinggakan bertubi-tubi ujian yang Allah hamparkan untuk wanita itu. Betapa Allah sayang dan kasih pada wanita itu sehingga hari ini beliau masih dalam agama Allah ini, tidak pernah berputus asa malah semakin teguh dan gigih memperjuangkan agamanya.


Sungguh, aku cemburu dengan wanita itu.


"And Allah guides whom He wills to a straight path." [2:213]


Bagaimana beliau boleh kembali kepada Islam.

Kuasa Allah, ditakdirkan beliau mengucap lafaz syahadah pada tahun 2007 iaitu pada hari ulangtahun kelahiran anak lelaki tunggalnya yang kini berumur 13 tahun. Kata wanita itu, hari itu dirasakan serba tak kena bagai ada sesuatu yang mengganggu dan terasa bagai beliau kehilangan sesuatu. Sebelum berhijrah, wanita cina itu tak pernah tahu bahawa wujudnya akhirat dalam hidup ini. Disangkan hidup ini semata-mata hidup untuk mencari harta dan kebahagiaan yang penghujungnya hanya berakhir dengan kematian. Sebelum kembali pada agama fitrah ini, beliau tidak ambil tahu soal Islam dan tidak pernah diberi pendedahan tentang bagaimana Islam yang sebenarnya. Beliau hanya tahu bahawa para muslim punya sebuah buku tebal seperti sebuah kitab, dan di dalamnya berisi pelbagai panduan dan tunjuk ajar untuk kehidupan manusia. Pernah beliau ingin cuba menyentuhnya, tetapi dihalang oleh seorang hamba Allah yang mungkin tidak mengetahui bahawa tafsir al-quran boleh disentuh oleh non-muslim.

Sebelum tiba hari bersejarah itu, beliau pernah bermimpi selama 3 malam berturut-turut. Di dalam mimpinya ada sekumpulan manusia berjubah putih yang hanya diam tanpa suara, dan pada akhirnya hanya menyebut "puasa". Lalu wanita itu berfikir, bagaimana mungkin dia seorang yang bukan islam bisa puasa seperti orang islam.

Reaksi keluarga terhadap pengislamannya.

Seperti yang dijangkakan, keluarganya menolak bulat-bulat pengislamannya dan wanita itu dihalau dari rumah sehelai sepinggang melainkan bersama wang 5 ringgit dan sebuah kereta yang sempat diambil. Sungguh, kisahnya sangat tragis dan menyedihkan. Malam itu, hanya sendu hiba yang aku lihat di wajahnya namun kadangkala aku lihat beliau berusaha untuk nampak kuat di hadapan audience. Tidak cukup dihalau dari rumah, beliau dikejar oleh si suami dan konco-konco untuk membunuhnya dan memaksa beliau kembali pada kekafiran. Si suami juga memalsukan laporan kepada polis mengatakan beliau diculik oleh teman rapatnya sehinggakan polis membuat sekatan jalan raya untuk menahan. Hingga suatu saat, beliau pulang ke rumah untuk menyelesaikan masalah namun penyelesaian yang beliau perolehi hanyalah sepak terajang dan dikurung dalam sebuah bilik. Di luar bilik, para tok sami sibuk menjampi supaya beliau lembut hati kembali pada agama asal.

Aku tak mampu menceritakan semula kisah beliau, sebagaimana yang aku dengar dari bicara beliau. Cuma aku boleh simpulkan kisahnya itu tidak ubah seperti drama lakonan tv atau drama novel, yang kita sangkakan tak pernah menjadi realiti. Tapi hakikatnya, itu kisah benar hidup beliau.

Hidup sebelum menjadi muslim dan selepas muslim.

Sebelum muslim hidupnya penuh kekayaan. Dikhabarkan keluarganya adalah salah seorang jutawan, rumah besar, kereta besar. Tapi selepas penghijrahan, hidupnya berubah 360 degree. Beliau hanya tidur beralaskan tikar dan hanya makan roti kering. Kalau dulu makan ikan besar memang dah jadi lumrah hidup keluarganya, tapi kini hanya ikan temenung (eh betul ke eja?huhu) yang jadi pilihan atas dasar murah dan jimat. Kalau dulu ikan temenung hanya dibelikan untuk kucingnya makan. Tapi, apa yang menarik, wanita itu sempat berseloroh mengatakan apa guna hidup kaya kalau hati tak tenang dan berserabut. Lebih baik hidup miskin dengan hati yang aman. Tak perlu pening kepala nak fikir soal hutang, kad kredit dan sebagainya. Secara mudahnya, beliau kini lebih bersyukur dengan apa yang ada padanya dan tak pernah sesal meninggalkan kekayaannya dulu.

Hubungan dengan keluarga selepas keislaman.

Sejak beliau kembali pada islam, beliau tak pernah bertemu dengan anaknya hingga sekarang. Si  ayah tidak mengizinkan dan si anak juga tidak mahu bertemu. Kata si anak, selagi mamanya bertudung, selagi itu wanita itu bukan  mamanya. Saat beliau menceritakan perihal anaknya, air matanya tak henti mengalir. Ibu mana yang tak sayangkan anak. Ibu mana yang tak rindukan anak. Kita yang masih punya ibu bersyukurlah. Bersyukur kerana tali persaudaraan kita dengan ibu masih utuh dengan kasih sayang, bukan dengan kebencian.

Manakala ibu wanita itu pula, alhamdulillah kini semakin menerima keadaan anaknya yang beragama Islam. Dulu ibunya juga membenci hinggakan wajah si anak langsung tidak mahu dipandang. Lama-kelamaan, ego si ibu cair dengan budi pekerti si anak yang masih melayannya dengan kelembutan dan kasih sayang. Cuma satu hal saja, si ibu tidak mahu melihat anaknya bertudung. Si ibu malu dengan orang sekeliling. Hingga pada suatu saat ketika ibunya sakit di hospital dan dirawat dalam tempoh yang agak lama, ditakdirkan wanita itu menawarkan diri untuk menjaga ibunya di hospital dek kerana adik beradik yang lain enggan menjaga dengan pelbagai alasan. Di situ, beliau bertudung, bersolat dan berpuasa di hadapan ibunya tanpa segan. Sehinggakan ibunya pula yang sering mengejutnya untuk bangun sahur. Allahu.. betapa doa si anak menjadi kenyataan.

Pernah ketika Tahun Baru Cina, wanita itu pulang ke rumah ibunya untuk menyambut perayaan bersama. Di tengah malam saat semua ahli keluarga sedang nyenyak tidur, beliau bangun ke dapur dan menyamak semua periuk belanga pinggan mangkuk sudu garfu semata-mata untuk menambat hati ibunya keesokan hari. Supaya nanti beliau boleh berkongsi meja dan makan bersama tanpa ragu soal halal haram. Keesokan harinya, beliau bangun awal pagi untuk memasak kerana tak mahu kakak-kakaknya masuk dapur dahulu dan memasak makanan yang tak halal. Aku jadi terlalu kagum dengan wanita itu, yang sedaya upaya menambat hati keluarganya dan tak mahu mereka salah faham bahawa keislamannya akan memutuskan hubungan kekeluargaan mereka.

Persepsi terhadap Islam.

Jika ditanya wanita ini bagaimana beliau melihat Islam dan para penganutnya, jawapan yang diberikannya amat mudah. "Kalau bukan kerana hidayah, sorry ler nak masuk Islam." Ouch! Dush! Terasa batu besar menghempap muka. Bicara wanita itu memang terlalu jujur dan tak berselindung. Jika ingin menyindir, terus diberi ayat sindiran. Aku suka cara begitu. Menusuk tajam pada setiap antara kita yang sudah muslim sejak dari lahir.Malu tahu.

Tambah beliau lagi, kalau pergi ke supermarket melihat manusia di sana, jawabnya memang tak jadi nak peluk islam. Apa tidaknya, pelbagai gaya, fesyen dan tingkah laku yang para muslim duk tayang. Yang bertudung pun boleh cakap kasar maki hamun. Jadi, macam tu ke akhlak yang Rasulullah ajar? Pernah aku dengan somebody cakap dulu, katanya kalau nak tengok macam mana Islam yang sebenar, bacalah buku. Jangan tengok pada orang islam zaman sekarang. Sebabnya yang islam pun dah tak macam islam. Haishh..dah tu nak cakap apa lagi? anda setuju?

Hidup selepas penghijrahan

Kini hidupnya lebih tenang dan bahagia. Di sebalik kesedihan dibuang keluarga, beliau bahagia dengan Tuhannya yang baru. Allah. Menyara hidup dengan mengambil upah menjahit tudung labuh dan berkongsi rumah dengan sahabat baiknya yang sentiasa ada saat beliau susah dan senang. Sahabatnya juga pernah diugut bunuh oleh konco-konco suaminya suatu ketika dulu. Pekerjaan menjahit tudung itu sebenarnya bertitik tolak dari kisah wanita itu yang ingin memakai tudung ketika awal penghijrahannya. Melucukan apabila katanya, untuk memakai tudung pun sudah mengambil masa sejam. Kalau tak silap aku, tudung pertama yang beliau sarungkan adalah tudung bawal, dan beliau mengambil keputusan untuk menukar tudung bawal kepada tudung yang lebih tebal dek kerana tudung bawal yang menampakkan batang leher. So, siapa yang nak tempah tudung dengan beliau silalah ye. Tudung awning yang kainnya tebal dan labuh menutup dada. Alhamdulillah setakat ini rezekinya melimpah ruah dan bisnes pun berjalan lancar.


Meaningful quotes from Puan Aisyah Hidayah Tan binti Abdullah. Sesuai untuk renungan kita yang sudah muslim lebih senior dari beliau.

## Kalau tengok akhlak orang Islam kt malaysia, memang kita rasa tak jadi nak masuk islam.
## dalam hidup ni kalau takda ujian, maknanya Allah tak sayang kita
## Bila msuk islam takda duit pn hati tenang, kalau dulu duit banyak pun serabut je
## Pergi surau sedih tengok takda orang. tapi kat pasar malam orang ramai pula.
## Orang cina memang selalu kalut. selalu nk cepat. bila azan, saya cepat2 solat.
    selagi tak solat, selagi tu tak boleh buat kerja lain.
## Tiap kali sujud dalam tahajud, ada ketenangan. kalau pergi sembah pokok tak rasa apa-apa.
    hanya makan asap. yang menangis tu sebab asap masuk mata.
## Sebagai hamba Allah dan umat Nabi, saya rasa malu kalau tak bertudung.
## Jadi islam kena lengkap. islam pun ada uniform sendiri macam nurse, cikgu etc. So kita kena
    tunjuk Islam yang sebenar pada diri kita.
## Orang islam banyak terikut-ikut dengan orang kafir. contohnya, fesyen tudung yang macam2.
    Yang buat tudung tu orang kafir. kalau kita tak tahu, kena belajar. jangan main ikut je.
    Tapi ada je yang tahu tapi buat2 tak tahu.
## Yahudi memang banyak pengaruh. time maghrib tu la banyak cerita2 best kt tv.
    Sudahnya solat maghrib pun kita tinggal.
## Orang islam sekarang susah nak tolong saudara sendiri. Memang kena berdikari sendiri.
## Tudung labuh dan serban bukan ukuran keimanan seseorang.
## Nak dakwah orang tak semestinya pakai lidah sahaja. ada banyak lagi cara lain.
## Bukan orang Islam ganas, cuma kadang-kadang emosi kita disalah tafsirkan.


Konklusinya, bicara beliau pada malam itu banyak membuka mata terutamanya para muslim yang sememangnya diberi nikmat Islam sejak dari dalam perut ibu, namun gagal untuk menjadi contoh terbaik untuk orang lain. Aku malu dengan beliau. Sekian.



Maaf. Aku memang fail kalau bab jadi tukang cerita
=.=''

No comments: